3 Cara Mengatasi & Mencegah Jerawat Semasa Dewasa

mencegah jerawat semasa dewasa

Jika anda menganggap jerawat hanya berlaku kepada remaja, maka anda salah – jerawat mungkin juga boleh berlaku semasa dewasa.

Dengan menggunakan kaedah dan cara yang betul, menggunakan produk yang tepat dan menjalani gaya hidup sihat anda boleh mencegah mahupun menghilangkan jerawat semasa dewasa.

Artikel kali ini akan membincangkan beberapa cara yang anda boleh ambil untuk mencegah jerawat semasa dewasa.

Cara #1: Jaga Kebersihan Diri

Perkara utama untuk mencegah jerawat semasa dewasa adalah pada aspek kebersihan diri dan muka. Berikut adalah beberapa langkah:

1. Pilih Sabun/Pencuci Muka Yang Sesuai

Adalah terbaik sekiranya anda memilih produk pencuci muka yang direka khas untuk melawan perbentukan jerawat pada jenis kulit yang berisiko.

Biasanya produk seperti ini boleh menstabilkan kadar minyak yang kulit kita hasilkan, dan tidak akan menyebabkan iritasi pada kulit. Pada masa yang sama, ia boleh membuang sel kulit mati.

2. Gunakan Jari Untuk Menyapu Pencuci Muka

Basuh muka anda sekurang-kurangnya 2 kali sehari untuk mengeluarkan sebarang minyak berlebihan pada muka (yang boleh menyebabkan masalah jerawat). Semasa mencuci muka, gunakan air suam berbanding air sejuk atau air panas – kerana boleh mengeringkan kulit muka.

Semasa menyapu muka, urut menggunakan jari dengan lembut, gerakan bulatan. Jangan terlebih kasar.

3. Elakkan Menyentuh Muka Sepanjang Hari

Jari kita boleh memerangkap banyak bakteria sepanjang hari. Jika kita menyentuh muka dengan menggunakan jari tangan (tanpa membasuhnya terlebih dahulu), ia boleh merebakkan bakteri ke muka.

Oleh itu, jika anda sangat perlu menyentuh muka, adalah terbaik sekiranya anda membasuh tangan terlebih dahulu. Paling tidak pun, menggunakan sanitizer tangan.

4. Jangan Pecahkan Jerawat

Jerawat mengandungi bakteria. Apabila anda pecahkan jerawat, bakteria tersebut boleh merebak ke bahagian kulit yang lain, menyebabkan banyak lagi jerawat.

Jari-jemari kita pun mempunyai bakteria dia sendiri. Apabila anda menggaru atau memecahkan jerawat, bakteria yang terdapat pada jari akan masuk – boleh menyebabkan jangkitan kuman.

Baca: 50+ Cara dan Petua Lengkap Menghilangkan Jerawat

5. Elakkan Penggunaan Produk Kosmetik

Terutama secara terus pada jerawat tersebut. Kebanyakan produk kosmetik mengandungi minyak yang boleh memudaratkan jerawat yang sedia ada. Memang logik anda ingin menghilangkan kesan jerawat, tetapi pilihlah produk yang tidak berasaskan kepada minyak.

6. Gunakan Krim Benzoyl Peroxide

Krim benzoyl peroxide ataupun di Malaysia lebih mengenalinya dengan nama produk Oxy 5 atau Oxy 10, boleh mengurangkan keradangan yang disebabkan oleh jerawat dan pada masa yang sama mencegahnya daripada berlaku lagi.

Sebelum menyapunya, basuh tangan dan jari anda terlebih dahulu. Sapukan krim itu pada jerawat. Lakukannya dua kali sehari. Selain krim, benzoyl peroxide juga terdapat dalam bentuk gel dan pencuci muka.

7. Gunakan Krim Vitamin A

Krim vitamin A boleh melegakan liang pora yang tersumbat. Apabila liang pora tidak tersumbat ia akan memudahkan ubat seperti antibiotik untuk memasuki kulit dan melawan bakteria.

8. Berbincang Dengan Doktor Bagaimana Untuk Menstabilkan Hormon

Salah satu faktor berlakunya masalah jerawat ini adalah pada hormon. Jika hormon tidak stabil, maka ia boleh membawa kepada jerawat. Sila berjumpa dengan doktor untuk mengatasi masalah hormon ini.

Cara #2: Menggunakan Produk Semula Jadi

Tidak dinafikan bahawa produk semula jadi boleh memberikan kesan positif kepada jerawat semasa dewasa.

1. Gunakan Oat Sebagai Mask Muka

Oat mengandungi bahan unik yang dikenali sebagai avenanthramides, yang mana mengandungi sifat anti-keradangan jerawat yang baik. Salah satu cara terbaik untuk mendapatkan kebaikannya adalah dengan menjadikan mask muka!

Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:

i. Masak setengah cawan oatmeal. Anda boleh menambah 2-3 sudu teh madu pada oat tersebut.

ii. Tunggu ia sejuk dan kemudian sapu pada bahagian muka yang sering mendapat jerawat. Biarkannya selama 30 minit.

iii. Bilas muka dengan air suam, dan keringkannya dengan tuala bersih.

2. Gunakan Baking Soda

Baking soda mengandungi sodium bicarbonate, yang mana boleh mengurangkan kadar keradangan dan membersihkan jerawat. Jika jerawat anda tumbuh pada muka, maka gunakan mask muka baking soda. Jika jerawat tumbuh pada bahagian lain (badan), maka guna mandian baking soda.

i. Mask Muka Baking Soda

Basuh muka anda dengan air suam. Ambil 8 suduteh baking soda dan campurkannya dengan secawan air dan kacau bahan-bahan tersebut sehingga membentuk pes.

Sapu campuran tersebut pada tempat jerawat dan biarkannya di muka selama 15 minit. Bilas muka dengan air bersih dan kemudian keringkan.

ii. Mandian Baking Soda

Penuhkan tab mandian anda dengan air suam. Jangan gunakan air panas kerana boleh mengeringkan kulit. Masukkan 1 cawan baking soda ke dalam air tab tadi. Kemudian, berendam di dalam tab tersebut selama 15-20 minit.

3. Gunakan Madu

Madu mempunyai sifat antiseptik, anti-keradangan yang boleh mengurangkan jerawat. Madu juga merupakan ejen penyembuh kepada parut jerawat. Untuk menggunakan cara ini, anda hanya perlu:

i. Basuh tangan dan muka.
ii. Gunakan jari dan sapu sedikit madu pada tempat jerawat tersebut.
iii. Ulangi sebanyak 2 kali sehari.

4. Gunakan Pes Timun

Jerawat boleh berlaku sekiranya kulit anda terlalu kering atau terlalu berminyak. Memandangkan timun merupakan makanan yang mengandungi kadar air paling tinggi jika dibandingkan dengan yang lain, maka anda boleh memanfaatkannya.

Untuk membuat pes timun, anda hanya perlu:

i. Ambil separuh timun dan kisarkannya sehingga menjadi pes.
ii. Sapukan pes timun tersebut pada kulit anda dan biarkannya selama 20-30 minit.
ii. Kemudian, bilas dengan air bersih.

Cara #3: Menjalani Gaya Hidup & Diet Sihat Untuk Mencegah Jerawat Semasa Dewasa

Luaran bergantung kepada dalaman. Oleh itu, anda perlu menjaga diet dan pemakanan jika tidak mahu berlaku jerawat. Gaya hidup juga perlu dititikberatkan. Berikut adalah beberapa cadangan:

1. Kekalkan Badan Hidrat

Seperti yang dinyatakan di atas, kulit yang kering lebih cenderung kepada berlakuknya masalah jerawat. Oleh itu, untuk mencegah daripada berlakunya jerawat, terutama semasa dewasa, anda perlulah kekalkan badan dalam keadaan hidrat.

Untuk mengekalkannya, anda seeloknya mengambil 8-12 gelas setiap hari, dan ambil lebih jika seorang yang aktif.

Jika sudah bosan dengan air masak sahaja sepanjang hari, apa kata mencuba jus buah-buahan pula.

2. Jauhi Makanan Yang Boleh Menyebabkan Jerawat

Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh menyebabkan jerawat, dan kebanyakannya adalah berasaskan kepada gula. Gula boleh meningkatkan kadar gula dalam darah, yang akan meransang permintaan kepada insulin.

Insulin yang berlebihan boleh menyebabkan kulit menghasilkan minyak dan lantas menyebabkan kepada masalah jerawat. Makanan yang perlu dielak (paling tidak pun kurangkan) adalah:

  • Makanan berlemak
  • Makanan berminyak
  • Air soda & berkarbonat
  • Gula
  • Nasi putih

3. Bersenam Setiap Hari

Senaman sangat penting untuk mengekalkan badan, termasuk kulit anda sihat. Sekiranya boleh, cuba bersenam selama 30 minit setiap sesi, 3-5 kali seminggu.

Bersenam bukan sahaja boleh menyihatkan badan, malah menjamin sistem badan berfungsi dengan baik. Anda boleh melakukan sama ada senaman kardio (jog, berbasikal, berenang) ataupun senaman kekuatan dan fleksibiliti (angkat berat, yoga)

4. Elakkan Stress & Tekanan

Tekanan boleh menyebabkan jerawat. Tekanan boleh menyebabkan badan menghasilkan cortisol, yang mana memainkan peranan kepada perbentukan jerawat.

Jika anda tidak mahu mendapat jerawat semasa dewasa, maka anda perlu menjauhi sebarang tekanan. Anda digalakkan untuk membaca artikel ini.

Disamping itu, dapatkan tidur yang mencukupi. Tidur selama 7-8 jam setiap malam boleh membekalkan diri anda dengan tenaga yang mencukupi.

Tips Tambahan

1. Elakkan produk kosmetik berasaskan minyak.
2. Banyakkan makan serat seperti buah pisang untuk mencegah sembelit. Sesetengah orang mendapati bahawa sembelit boleh memudaratkan jerawat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, orang dewasa pun tidak terlepas dari mendapat jerawat (walaupun jarang). Jika anda seorang yang sangat menjaga penampilan diri dan tidak sukakan pengalaman remaja berulang, maka wajarlah mengikuti apa yang terdapat dalam artikel ini.

Harap artikel tentang mengatasi masalah jerawat semasa dewasa ini membantu anda. Silalah kongsikannya dengan orang yang tersayang agar mendapat manfaat yang sama.

Sekian~

Loading...

Beri maklum balas

Please enter your comment!
Please enter your name here