8 Bahaya Merokok Kepada Kesihatan Yang Sering Dilupakan

bahaya merokok

Nikotin merupakan satu bahan yang terdapat di dalam tembakau. Ia boleh mengakibatkan ketagihan, walaupun hanya mencubanya sekali sahaja. Selain nikotin, perokok juga menghirup sekitar 7,000 bahan kimia yang lain (ya, pastinya berbahaya).

Nikotin boleh memberikan kesan ketagihan yang kuat. Perokok tegar memerlukan bekalan nikotin yang tertentu untuk berasa normal – untuk menghilangkan rasa kemahuan/craving ataupun untuk melegakan mood mereka.

Dan bahan selebihnya pula berasal daripada daun tembakau. Sesetengah bahan tersebut adalah aktif (secara kimia) dan boleh membahayakan organ badan.

Asap rokok pula mengandungi lebih daripada 60 kimia yang boleh mengakibatkan kanser. Boleh katakan merokok ini merosakkan setiap anggota badan anda, membawa kepada banyak masalah kesihatan.

Dalam artikel ini, anda akan didedahkan kepada beberapa bahaya amalan merokok kepada banyak sektor dalam kehidupan.

 

Bahan Kimia Berbahaya di Dalam Asap Rokok

bahaya merokok

Sebelum mengetahui apa kesan merokok terhadap badan kita, adalah baik sekiranya kita mengetahui apa kandungan yang terdapat di dalam rokok dan asapnya terlebih dahulu.

Berikut adalah beberapa bahan yang terdapat di dalam asap rokok (semuanya berbahaya):

 

i. Tar

Ini adalah gabungan daripada beberapa partikel yang dikeluarkan di dalam asap rokok. Partikel ini mengandungi bahan kimia yang dikenalpasti sebagai karsinogen; bahan yang boleh membawa kepada kanser.

Tar adalah melekat, berwarna coklat, boleh menghitamkan gigi, kuku dan tisu paru- paru. Tar mengandungi carcinogen benzo(a)pyrene.

 

ii. Karbon Monoksida

Karbon monoksida merupakan gas yang tidak berbau, tetapi boleh menyebabkan kematian jika dihirup dengan kadar yang banyak – kerana ia boleh menggantikan tempat oksigen di dalam peredaran darah.

Setiap darah merah mengandungi protein yang dinamakan haemoglobin, berperanan sebagai pengangkutan kepada molekul oksigen ke seluruh badan. Namun, jika terdapat kehadiran karbon monoksida, ia akan melekat kepada haemoglobin, menggagalkan oksigen disalurkan ke sel badan.

Badan akan bertindak balas dengan menghasilkan sel darah merah dengan lebih banyak (sebab perlukan oksigen dengan lebih banyak). Perkara ini secara tidak langsung boleh mengakibatkan darah merah semakin pekat.

 

iii. Hidrogen Sianida (Hydrogen cyanide)

Paru-paru kita mempunyai helaian bulu yang sangat kecil (cilia) yang membantu untuk membersihkan paru-paru dengan menggerakkan bahan asing keluar. Hidrogen sianida boleh mengganggu proses ini, membawa maksud bahan kimia yang berbahaya di dalam asap rokok membentuk di dalam paru-paru.

Selain hidrogen sianida, bahan kimia yang lain termasuklah hidrokarbon, oksida nitrus, asid organik, phenol dan agen pengoksidaan.

 

iv. Agen Pengoksidaan

Merupakan bahan kimia yang sangat aktif (mengandungi radikal bebas) yang boleh merosakkan otot jantung dan saluran darah. Bahan-bahan tersebut boleh bertindak balas dengan kolestrol, membawa kepada penggumpalan bahan lemak di dinding arteri. Perkara ini boleh membawa kepada masalah jantung, strok (angin ahmar) dan penyakit saluran darah.

 

v. Bahan Logam

Asap rokok mengandungi bahan logam yang berbahaya termasuk arsenik, kadmium dan plumbum (ya, yang terdapat di dalam minyak kenderaan anda itu). Kebanyakan logam tersebut boleh membawa kepada kanser jika terdedah terlalu lama dengan kuantiti yang tertentu.

 

vi. Bahan Radioaktif

Selain itu, asap rokok mempunyai bahan radioaktif yang juga dikenalpasti sebagai satu bahan yang boleh membawa kepada kanser.

 

Kesan dan Bahaya Merokok Ke Atas Badan

Kesan merokok sangat besar dalam jangka masa yang panjang. Anda mungkin tidak merasakannya lagi di awal 30-an, tetapi dalam lingkungan 50-an, anda akan merasakannya.

Bukan first-hand smoker sahaja, malah second-hand smoker juga turut dapat nasib yang sama.

Antara masalah kesihatan yang perokok akan hadapi adalah:

 

#1: Bahaya Merokok Kepada Sistem Pernafasan

Merokok banyak memberikan kesan yang nyata kepada sistem pernafasan kita, antaranya adalah:

  • kerengsaan pada trakea (salur udara) dan larinks (kotak suara)
  • menghadkan fungsi paru-paru dan kesukaran bernafas, disebabkan oleh saluran udara paru-paru bengkak, sempit dan terdapat lendir.
  • mengakibatkan kerosakan paru-paru kerana bahan kimia yang terkumpul dan tidak boleh dikeluarkan.
  • peningkatan risiko jangkitan paru-paru dan mendapat tanda-tanda seperti batuk dan semput.

Lihatlah video di bawah untuk mengetahui bagaimana 60 potong rokok memberikan
kesan kepada paru-paru anda:

https://www.youtube.com/watch?v=tCdOAzyKplM

 

#2: Bahaya Merokok Kepada Sistem Peredaran Darah

Antara kesan amalan merokok terhadapa sistem peredaran darah adalah:

  • peningkatan tekanan darah dan kadar degupan jantung.
  • penyempitan saluran darah di dalam kulit, mengakibatkan suhu kulit menurun.
  • kadar peredaran oksigen berkurangan semasa melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam dan bersukan.
  • darah semakin pekat, boleh membawa kepada penggumpalan darah.
  • kerosakan kepada dinding arteri, yang mana dikenalpasti sebagai salah satu penyebab kepada aterosklerosis.
  • pengurangan kadar saluran darah ke jari (tangan dan kaki).
  • meningkatkan risiko kepada strok dan masalah jantung kepada saluran darah tersumbat.

 

#3: Bahaya Merokok Kepada Sistem Pertahan Badan

Rokok juga boleh memberikan impak kepada sistem pertahan badan ataupun juga dikenali sebagai sistem imun. Antaranya adalah:

  • lebih mudah untuk dijangkiti penyakit berjangkit seperti pneumonia dan influenza.
  • sakit lambat sembuh, walaupun sakit biasa seperti demam ataupun selesema.
  • kadar antioksida (seperti vitamin C) di dalam darah berkurangan.

 

#4: Bahaya Merokok Kepada Sistem Otot

Otot juga akan terjejas jika menerima asap rokok secara berterusan. Antaranya:

  • mengetatkan otot tertentu.
  • kepadatan tulang (bone density) berkurangan.

loading...

#5: Kesan Asap Rokok Terhadap Organ Seksual

Asap tembakau dari rokok boleh membawa kepada beberapa masalah kepada organ seksual lelaki, antaranya:

  • jumlah sperma (air mani) yang berkurangan.
  • kadar sperma cacat (tidak sempurna) adalah lebih tinggi.
  • kerosakan genetik pada sperma.
  • mati pucuk.

Bagi wanita pula, amalan merokok boleh membawa kepada:

  • kurang subur, sukar untuk mendapat anak.
  • kitaran haid akan terganggu.
  • mendapat menopause dengan lebih awal.
  • berisiko mendapat kanser serviks.
  • berisiko mendapat strok dan serangan jantung (jika berumur 35 tahun dan ke atas).

 

#6: Kesan Merokok (Secara Umum)

Secara umumnya, orang yang merokok mungkin mendapat beberapa masalah kesihatan yang disenaraikan di bawah:

  • kerengsaan/keradangan di bahagian perut dan usus.
  • masalah berkurangnya deria untuk merasa dan menghidu.
  • kedutan pra-matang pada kulit.
  • risiko lebih tinggi untuk menjadi buta.
  • penyakit gusi (periodontitis).

 

#7: Kesan Merokok Kepada Bayi Dalam Kandungan

Bagi ibu hamil yang merokok, mereka boleh mengalami beberapa masalah seperti berikut:

  • risiko untuk gugur kandungan ataupun lahir tidak cukup bulan adalah sangat tinggi.
  • berat lahir yang rendah, yang mana boleh memberikan kesan masa panjang kepada perkembangan bayi. Ia terikat dengan masalah jantung, strok, tekanan darah tinggi, masalah berat badan dan kencing manis pada masa mereka dewasa.
  • berisiko untuk mendapatkan cleft palate dan cleft lip.
  • Jika ibu bapa tetap merokok berhampirang dengan bayi yang baru lahir, bayi tersebut berisiko untuk mendapat jangkitan telinga, masalah pernafasan seperti pneumonia dan bronchitis, sudden infant death syndrome (SIDS) dan penyakit meningococcal.

 

#8: Bahaya Merokok Dalam Jangka Masa Panjang

Bagi orang yang sudah lama merokok, mereka lebih cenderung untuk mendapat penyakit yang boleh meragut nyawa. Antaranya adalah:

  • Kanser paru-paru, mulut, hidung, peti suara (larinks), lidah, sinus hidung, kerongkong, tekak, pankreas, sumsum tulang (leukaemia mieloid), buah pinggang, serviks, ovari, ureter, hati, pudi kencing, usus dan perut — 18 jenis kanser semuanya! Kalau tidak dapat semua, mungkin sekurang-kurangnya satu ataupun beberapa.
  • penyakit paru-paru seperti chronic bronchitis dan chronic obstructive pulmonary disease.
  • penyakit arteri koronari, penyakit jantung, serangan jantung dan strok.
  • ulser sistem penghadaman.
  • osteoporosis dan keretakan pinggul.
  • peredaran darah yang lemah pada kaki dan tangan, yang boleh membawa kepada rasa sakit. Dalam kes yang teruk, gangren dan perlukan pemotongan anggota badan (amputasi).

Berhenti Merokok!

Perlu diingatkan sekali lagi bahawa rokok mengandungi lebih daripada 7,000 bahan kimia aktif yang boleh memberikan kesan buruk kepada seluruh anggota badan.

Oleh itu, apa kata para pembaca tidak memulakan amalan merokok ini. Dan bagi yang sudah mula dan sedang mencari jalan keluar, bacalah 4 Langkah & Cara Berhenti Merokok Paling Berkesan

Sekarang, sudah ramai orang yang mula berpindah kepada e-rokok ataupun elektronik rokok. Pada masa ini, kajian masih diteruskan, untuk mengenalpasti adakah ia berbahaya ataupun tidak.

Menurut Michael Siegel, MD, MPH, seorang profesor di Boston University School of Public Health, mengatakan bahawa rokok elektonik ini adalah satu alternatif yang baik.

 

Kesimpulan

Merokok boleh mengakibatkan kematian – ya itu satu fakta!

Ramai orang yang tidak mengendahkan perkara ini kerana mereka tidak dapat merasakan masalah kesihatan tersebut pada masa sekarang. Hal ini kerana masalah tersebut akan datang pada masa hadapan jika tidak berhenti dengan serta merta.

Harap artikel ini membantu anda. Silalah berkongsikan artikel ini kepada orang yang anda sayang, agar mereka boleh menjauhi rokok – ataupun menjadi pedoman agar berhenti merokok.

Sekian~

Loading...

Beri maklum balas

Please enter your comment!
Please enter your name here