8 Perkara Yang Sering Orang Salah Faham Tentang Kolestrol

Kolestrol boleh menjadi kawan dan lawan – pada paras yang normal, ia adalah bahan yang penting untuk kegunaan badan. Tetapi, apabila parasnya meningkat, ia boleh menyebabkan masalah jantung.

Tetapi, disebabkan masalah kolestrol ini banyak diperbincangkan, banyaklah juga salah fahamnya. Artikel kali ini akan membincangkan 8 perkara yang sering orang salah faham tentang kolestrol.

1. Tahap Kolestrol Badan Bergantung 100% Pada Pemilihan Diet dan Aktiviti Fizikal

Walaupun tidak dinafikan bahawa diet dan pergerakan fizikal memainkan peranan yang penting dalam kadar kolestrol dalam darah, namun ia bukanlah 100% bergantung kepada 2 aspek tersebut.

Cuba ingat kembali bahawa aspek genetik turut menyumbang kepada tahap kolestrol berlebihan – ya, ia boleh menjadi masalah keturunan. Namun begitu, diet yang sihat dan bersenam masih menjadi penyumbang utama kepada kesihatan jantung – janganlah kata tak penting pula!

2. Orang Kurus Tidak Perlu Bimbang Tahap Kolestrol

Tahap kolestrol berlebihan tidak memilih umur dan berat badan. Ia boleh berlaku, bahkan sudah banyak kes yang dilaporkan bahawa orang bawah umur dan orang kurus mempunyai tahap kolestrol berlebihan.

Oleh itu, kalau anda seorang yang masih muda dan BMI normal, anda tidak boleh 100% yakin bahawa anda terlepas daripada masalah kolestrol.

3. Guna Marjerin Lebih Baik Daripada Mentega

Apa yang anda perlu tahu adalah, kedua-dua marjerin dan mentega mengandungi lemak tepu yang tinggi. Oleh itu, perlu diambil dengan kadar yang sederhana.

Apa yang boleh memberikan kesan kepada tahap kolestrol dalam badan adalah pengambilan lemak tepu dan lemak trans dari makanan. Kebanyakan minyak sayuran dan marjerin mengandungi kadar lemak tepu dan lemak trans yang sedikit berbanding dengan mentega.

Dengan mengurangkan kadar pengambilan lemak tepu dan lemak trans, ia boleh mengurangkan LDL dalam badan.

Sebelum itu, pastikan anda menggunakan marjerin yang mengandungi 0g lemak trans. Pada masa yang sama, anda perlu mendengar kata-kata pakar, sekiranya mereka tidak sarankan anda mengambil mana-mana marjerin atau mentega, maka adalah terbaik bagi anda mendengar kata-kata doktor pakar.

4. Doktor Tak Kata Apa-Apa Pun, Jadi Saya Tak Perlu Risau

Kesihatan adalah tanggungjawab diri sendiri, bukannya bergantung di atas tangan seorang doktor. Jika anda pernah melakukan medical check up, tetapi doktor tidak pernah tegur tentang kadar kolestrol badan anda, tidak bermakna anda boleh beriang-ria.

Oleh itu, anda boleh sahaja meminta doktor lakukan pemeriksaan pada tahap kolestrol badan anda, dan meminta pandangan. Doktor pun, hanya boleh berikan beberapa panduan pemakanan dan nasihat, tetapi sekurang-kurangnya anda sudah tahu bila untuk bermula.

5. Produk Yang Berlabel “Tanpa Kolestrol” Adalah Terbaik Untuk Saya

Walaupun tidak dinafikan bahawa label pada produk merupakan satu perkara yang penting semasa memilih sesuatu sebelum membeli, namun ada sedikit salah faham di sini.

Terdapat juga produk yang berlabel “rendah kolestrol” atau “tanpa kolestrol” juga mengandungi lemak tepu dan lemak trans – yang mana menyumbang kepada tahap kolestrol yang tinggi dalam darah.

Oleh itu, adalah terbaik jika anda memeriksa betul-betul label produk tersebut. Anda perlu perhatikan kadar lemak tepu, lemak trans dan jumlah kalori setiap sajian. Biasanya, senarai kandungan disusun mengikut jumlah kandungan setiap bahan (paling atas adalah paling banyak kuantitinya).

Proposed_Standard_NFL_2.13.14
Contoh

Salah faham tentang kolestrol #5 ini penting, jadi kena pandai-pandai pilih produk.

6. Saya Sudah Ambil Ubat, Jadi Saya Tak Perlu Jaga Diet Lagi Dah

Anggapan itu adalah salah! Kadar kolestrol banyak bergantung kepada diet dan aktiviti fizikal seseorang – oleh itu, seseorang yang mengalami masalah kolestrol berlebihan perlu bermula dari 2 perkara tersebut.

Ubat yang diberikan oleh doktor adalah untuk mengawal kadar kolestrol yang sudah banyak. Jika diet tidak dijaga semasa mengambil perubatan, maka tiada perubahan, tiada kesan, bazir masa.

7. Perempuan Tidak Perlu Risau Masalah Kolestrol Tinggi

Kenyataan ini agak tidak tepat. Walaupun wanita yang premenopausal mungkin mempunyai imun kepada LDL, disebabkan oleh hormon estrogen yang meningkatkan kadar HDL, dan ianya sangat tinggi semasa hamil.

Namun begitu, wanita yang lebih tua sering mempuyai kadar trigliserida yang lebih tinggi dan mungkin juga kadar kolestrol yang lebih tinggi. Untuk maklumat lanjut, sila layari link ini.

8. Kanak-Kanak Tidak Perlu Risau Kadar Kolestrol

Kenyataan ini salah. Walaupun kes kadar kolestrol dan masalah jantung jarang berlaku kepada kanak-kanak, tetapi ada juga kes seperti ini yang dilaporkan (rujuk di sini).

Oleh itu, jika anak anda dikategorikan sebagai obes, atau anda mengalami masalah kolestrol tinggi – sila dapatkan pemeriksaan ke atas anak-anak anda. Hal ini kerana obes dan faktor keterunan biasanya membawa kepada masalah kolestrol tinggi pada kanak-kanak dan remaja.

Kesimpulan

Secara ringkas, masalah kolestrol tinggi dan penyakit yang berkaitan seperti sakit jantung dan strok ini adalah penyakit yang biasa dialami oleh rakyat Malaysia – dan ramai yang salah faham tentang kolestrol ini.

Harap artikel ini memberikan sedikit pencerahan kepada anda semua. Silalah ke link ini untuk melihat sumber artikel ini ditulis.

Sekian~

Leave a Comment