4 Kaedah Mengurangkan Kos Perbelanjaan Peralatan Sekolah Anak

Sekiranya anda seorang ibu atau bapa, semestinya anda mengetahui bahawa perbelanjaan peralatan sekolah anak-anak memerlukan wang yang banyak – terutama bagi yang menetap di asrama.

Jika anda merasakan perbelanjaan peralatan sekolah boleh membebankan, lebih-lebih lagi kalau tidak dirancang dengan tepat, maka artikel ini boleh membantu.

Kali ini, kami akan mendedahkan 4 kaedah berkesan mengurangkan kos perbelanjaan peralatan sekolah anak-anak, dalam langkah-demi-langkah.

Kaedah #1: Gunakan Taktik Semasa Membeli Belah Peralatan Sekolah

Seperti anda membeli belah peralatan-peralatan yang lain, adalah terbaik jika anda mempunyai taktik dan perancangan yang rapi untuk mendapatkan tawaran serta penjimatan yang terbaik.

1. Beli Barangan Keperluan Sahaja

Kadanga-kala kita mudah diganggu dengan tawaran sehingga berbelanja barang yang tidak diperlukan. Biasanya kanak-kanak lebih menyukai barangan yang lebih menyerlah seperti kotak pensil yang ada gambar Naruto, pemadam berbentuk Ultraman dan sebagainya – semua ini biasanya datang dengan kos yang lebih tinggi berbanding yang biasa.

Oleh itu anda haruslah memujuk anak-anak anda untuk membeli barangan yang lebih murah, dan tidak perlukan watak kartun padanya. Anda juga boleh berikan mereka pilihan, hanya satu barang sahaja dibenarkan; ataupun suruh mereka beli gunakan duit mereka sendiri (kalau anda ada ajar mereka untuk menabung sebelum ini).

Anda juga boleh beli barangan tersebut secar persendirian, tanpa anak-anak. Tetapi, kebanyakan kanak-kanak lebih suka pergi membeli bersama-sama. Ada juga antara mereka yang tidak berkira sangat – jika anak anda seperti ini, adalah terbaik kalau anda sendiri yang pergi beli bagi pihak mereka.

Elakkan pembelian impuls, kerana masa musim buka sekolah inilah banyak tawaran dan potongan yang diberikan.

2. Tetapkan Bajet

Dengan mengetahui berapa bajet yang anda akan letak pada barangan sekolah boleh mengurangkan over-spending.

Cuba peruntukkan duit kertas yang sekadar dengan apa yang perlu dibeli. Ini boleh mengingatkan kita berapa sudah dibelanjakan. Elakkan kad kredit/debit dalam hal ini, kerana anda sukar untuk mengawal keluaran duit.

Selain itu, anda boleh memberikan anak-anak anda “mini bajet” untuk sesetengah barangan. Berapa banyak itu bergantung kepada umur dan kebolehan anak anda. Sebagai contoh, berikan anak di Tahun 3 RM5 untuk membeli semua peralatan asas pensil warna – ini boleh melatih mereka untuk berjimat, membuat keputusan dan bertanggungjawab.

3. Periksa Kedai Jika Ada Sale

Kebiasaannya kedai peralatan sekolah, tidak kiralah dari peralatan tulis kepada pakaian dan beg, akan mengadakan musim potongan harga, lebih-lebih lagi dalam bulan Disember ini.

Oleh itu, ambillah peluang ini untuk mendapatkan tawaran yang terbaik. Jika ada masa, periksa kedai yang mana memberikan tawaran yang paling berbaloi.

Cuba elakkan daripada membeli produk yang berjenama, kerana ia biasanya akan lebih mahal. Ya, soal kualiti juga perlu dititikberatkan, cuma agak-agaklah berapa yang anda sanggup bayar untuk sesuatu barang.

Kalau mahu beli barang yang mahal, pilihlah barangan yang kita mahukannya untuk tahan lama, seperti pakaian atau beg. Pemadam atau pensil tidak perlu terlalu berkualiti pun sudah memadai – namun terserahlah pada anda.

4. Berpakat Sesama Ibu Bapa

Taktik agak bijak sebenarnya jika diaplikasikan dengan betul. Buat satu kumpulan ibu bapa pelajar, dan berpakat sesama sendiri membeli barangan dalam bundle secara borong. Kemudian bahagikan secara sama rata dalam kumpulan tersebut.

Sangat efektif jika pelajar tersebut di dalam kelas yang sama. Ia boleh mengurangkan rungutan murid seperti, “Tapi kawan Iwan dapat itu, dapat ini, dapat yang lebih mahal, lebih cantik..” – sebab barang yang mereka terima adalah barang yang sama.

5. Barangan Elektronik

Untuk barangan elektronik pula, seperti laptop, printer mahupun smartphone adalah terbaik kalau anda tunggu musim pc fair agar dapatkannya dengan harga yang lebih murah.

Elakkan daripada membeli second-hand kerana kita tidak tahu status barangan tersebut dengan tepat. Anda boleh berbelanja dengan lebih baik kalau membeli laptop yang baharu – berbaloi dalam jangka masa yang lama.

Selain itu, anda juga boleh membeli secara online dari Lazada Malaysia jika mahu, kerana Lazada kerap juga mengadakan tawaran dan potongan harga.

6. Pergi Ke Kedai RM2 (Atau Sejenis dengannya)

Kadang-kala barangan yang anda mahukan boleh dibeli dengan separuh harga di kedai yang lain, terutamanya dengan yang menawarkan semua barangan mereka dengan satu harga tetap – biasanya RM2, atau RM5 atau RM10.

Anda boleh memantau harga barangan yang dibeli di pasar raya dengan barangan yang dijual di kedai seperti ini, contohnya Daiso. Biasanya kedai seperti ini boleh menjimatkan wang anda.

Namun, anda juga perlulah pandai memilih produk yang tidak mudah rosak, elakkan daripada membeli barangan elektronik dan mekanikal dari kedai RM2 ini – kerana kualitinya dikhuatiri.

Pakaian, alat tulis, buku dan sebagainya boleh dipertimbangkan.

7. Beli Setelah Sekolah Bermula

Bukan semua keperluan sekolah diperlukan pada hari pertam persekolahan. Oleh itu, anda boleh merancang apa yang diperlukan dengan serta merta, dan apa yang tidak. Utamakan apa yang penting terlebih dahulu, dan yang tidak boleh dibeli kemudian, setelah sesi sekolah bermula.

Dan kadang-kala, kedai mengadakan penjualan penghabisan stok setelah sesi persekolahan bermula, untuk menghabiskan semua barang yang tidak terjual. Ambil kesempatan ini untuk mendapatkan peralatan yang masih belum cukup itu tadi.

Kaedah #2: Dapatkan Peralatan Secara Percuma!

Anda boleh mendapatkan peralatan persekolahan secara percuma dengan mudah, cuma perlu minta.

Minta Dari Saudara Mara (Atau Anak Sendiri)

Kebanyakan daripada kita mempunyai saudara mara dan mungkin mempunyai anak saudara yang sudah selesai persekolahan. Mungkin barangan mereka sudah tidak diperlukan, seperti pakaian seragam dan lain-lain.

Anda tidak salah jika meminta mereka menyedekahkan barangan tersebut kerana sudah tidak digunakan.

Kaedah #3: Jika Anda Berpendapatan Rendah

Bukan semua orang mempunyai duit yang cukup untuk menanggung perbelanjaan anak-anak, sekiranya anda salah seorang daripada mereka, mungkin ini boleh membantu.

Minta Bantuan Guru Atau Pengetua/Guru Besar

Guru-guru semua memahami bahawa bukan semua orang berada, dan biasanya mereka boleh memberikan bantuan. Apa yang anda perlu lakukan adalah bertanya dan meminta.

Dari segi apa yang mereka boleh tolong itu bergantung kepada keperluan dan kemampuan mereka juga. Walaupun tidak dapat membantu secara total, namun mereka pasti boleh mengurangkan beban.

Kaedah #4: Kitar Semula atau Guna Semula Peralatan Sekolah Yang Lama

Kadangkala, anak-anak kita sudah ada peralatan tersebut, namun masih meminta untuk membeli yang baharu. Namun, kalau mahu berjimat, guna semula adalah langkah yang terbaik.

1. Kitar/Guna Semula Apa Yang Boleh

Sebelum anda pergi membeli belah, periksa terlebih dahulu peralatan yang masih digunakan. Cuba pertimbangkan untuk kitar/guna semula apa yang ada.

Periksa peralatan sekolah sesi lalu, jika masih dalam keadaan yang baik, gunakannya kembali. Basuh.

Namun bertimbang rasa jugalah ye, jangan pula suruh anak-anak yang naik ke kelas tingkatan gunakan beg masa mereka di kelas 4. Biasanya pelajar Tingkatan perlukan banyak buku dan mereka perlukan beg yang lebih besar.

2. Buku Yang Tidak Digunakan

Sekiranya ada buku latihan/buku kosong yang tidak digunakan pada tahun lepas, bolehlah manfaatkannya untuk sesi hadapan. Jangan buang. Buku tersebut boleh digunakan untuk membuat contengan atau nota tambahan.

Sama juga bagi buku yang tidak sempat habis digunakan. Guna semula buku tersebut, tetapi untuk tujuan yang lain.

Tips Tambahan

  1. Ajar anak anda untuk bertanggungjawab ke atas barangan mereka, dan jangan
    hilangkannya.
  2. Sepanjang tahun, simpan mana-mana peralatan alat tulis yang anda terima semasa
    menghadiri kursus – kemudian berikan kepada anak jika perlu.
  3. Periksa harga secara online.
  4. Beli secara borong, terutama barangan yang boleh tahan lama seperti peralatan
    tulis. Ambil peluang semasa musim promosi untuk beli secara banyak.
  5. Jangan terikat pada sesuatu jenama.

Kesimpulan

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Oleh itu, janganlah mengeluh jika datangnya musim cuti sekolah, terutama pada penghujung tahun.

Harap artikel tentang berjimat dalam perbelanjaan peralatan sekolah anak-anak ini boleh memberikan manfaat kepada anda, dan kepada anak.

Silalah kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan yang anda rasa boleh memberikan manfaat seperti mana anda.

Sekian~

2 thoughts on “4 Kaedah Mengurangkan Kos Perbelanjaan Peralatan Sekolah Anak”

Leave a Comment