Elak Mengeluarkan Kata-Kata Kesat (6 Langkah)

“Lidah itu lebih tajam daripada pedang”

Pernah dengar pepatah tersebut? Sudah mesti kita semua tahu bahawa perkataan yang kita keluarkan dari mulut ini, sekiranya tidak dijaga boleh memberikan kesan yang paling teruk kepada orang lain.

Ia boleh melukakan hati orang lain – lagi sakit daripada kena tikaman pedang.

Oleh itu, sekiranya anda adalah seorang yang suka mengeluarkan kata-kata kesat, atau suka mempersendakan orang lain, maka anda seharusnya berhentikan.

Bagaimana?

Teruskan membaca kerana artikel kali ini akan menyenaraikan 6 langkah yang perlu diambil untuk mengelak daripada mengeluarkan kata-kata kesat:

6 Langkah Mengelak Daripada Mengeluarkan Kata-Kata Kesat

Ada masalah, sering mengeluarkan kata-kata yang tidak disenangi oleh orang lain, ketahui bagaimana mengatasinya di bawah:

1. Anda Perlu Tahu Bahawa Bahasa Kesat Tidak Disukai

Perkataan kesat dan boleh mengguriskan hati seseorang boleh berubah-ubah berdasarkan situasi. Ada kala orang mengeluarkan kata kesat semasa mereka sedang mengalami situasi cemas, marah, tidak sabar dan sebagainya.

Anda perlu ingatkan diri anda sendiri bahawa mood anda adalah bersifat tidak kekal dan boleh berubah mengikut masa.

Oleh itu, apabila mengalami keadaan yang boleh menyebabkan anda mengeluarkan kata-kata kesat itu, ingatlah bahawa sepanjang hidup anda nanti anda akan menghadapi situasi yang sama.

Sekiranya pada masa itu anda mengeluarkan kata-kata kesat, maka ada kemungkinan anda akan terbiasa dan mengeluarkannya lagi pada masa hadapan.

2. Jauhi Daripada Fikiran Negatif

Biasanya orang yang sering berkata kesat ini juga mempunyai pemikiran yang negatif. Sekiranya anda adalah orang itu, maka anda haruslah mengubah bagaimana anda berfikir.

Pada peringkat permulaan, jauhi daripada berkawan dengan orang yang sama seperti anda. Sebaliknya, carilah rakan yang mempunyai perwatakan baik dan berbudi bahasa – agar anda boleh terikut mereka.

Kemudian, anda perlu tahu bagaimana untuk mengawal rasa marah dan tekanan hidup. Orang yang tidak boleh menerima kenyataan ini sering mengeluarkan kata-kata tidak elok, mereka beranggapan ia boleh mengurangkan rasa derita tersebut.

3. Bersihkan Hati Anda

Proses ini bermula dengan anda dan juga akan berakhir dengan anda. Strategi ini akan membantu anda membina kehidupan yang optimistik dan juga membantu anda untuk mengelak daripada menggunakan kata-kata kesat.

Dari hati, ke perasaan dan ke lisan.

4. Terima Semua Orang Seadanya

Praktikkan sifat yang menerima semua orang seadanya, termasuklah dari segi bagaimana mereka bersikap dan bagaimana cara mereka bercakap.

Pada masa yang sama, anda sebaiknya mempelajari bagaimana seseorang itu berfikir (psikologi) – dengan ini anda akan memahami diri seseorang itu dengan lebih baik. Bahkan anda juga akan mengetahui akan diri anda sendiri.

5. Belajar Untuk Berbudi Bahasa

Berbudi bahasa adalah salah satu bahasa yang sangat penting. Ia menyanggah sebarang pemikiran buruk dan bahasa kesat. Dalam hidup ini, kita akan jumpa saat dimana kita berpeluang untuk berlaku baik – masa itu ambillah peluang tersebut dan tunjukkanlah kebaikan diri anda.

Mungkin pada awalnya anda akan ada rasa menunjuk-nunjuk, tetapi percayalah lama-kelamaan, perasaan itu akan berkurangan dan sifat anda yang suka membantu orang lain akan kekal.

6. Latih Diri Untuk Bersabar

Sabar adalah nilai yang sangat penting dalam kehidupan. Anda perlu ingat bahawa setiap perkara yang berlaku kepada anda pasti ada hikmahnya. Mungkin terdapat beberapa situasi yang menyebabkan anda hilang rasa sabar, ini termasuklah apabila anda marah, atau terpaksa menunggu barisan dan sebagainya.

Pada masa itu, cuba tenangkan diri kemudian fikir secara rasional dan logik. Jangan biarkan emosi mengambil alih akal anda.

Untuk mengetahui cara mengawal tahap kesabaran anda dengan lebih terperinci, sila baca artikel ini.

Video Bantuan

Video dibawah ada menceritakan serba sedikit tentang bagaimana anda boleh mengelak daripada mengeluarkan kata-kata kesat:

Kesimpulan

Secara ringkas, kita semua boleh elak daripada mengeluarkan kata-kata kesat. Apa yang penting adalah jangan terbiasakan diri dengan kata-kata tersebut. Sekiranya anda dalam keadaan yang boleh menyebabkan anda mengeluarkan kata-kata tersebut, cepat-cepat tutup mulut.

Dan bagi yang sudah terbiasa, anda perlu ubat pemikiran anda kepada yang lebih positif, rasional dan latih diri untuk banyak bersabar.

Harap artikel ini membantu anda mengatasi masalah berkata-kata ini. Sila kongsikan kepada rakan-rakan agar mereka mendapat manfaat yang sama.

Sekian~

Leave a Comment