Bagi kebanyakan orang di Malaysia, mereka masih tidak tahu menahu tentang Bitcoin ini, bahkan ada yang tidak pernah dengar. Bagi orang yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa teknologi, mereka mungkin pernah dengar.
Artikel kali ini akan menyenaraikan 11 perkara asas yang anda perlu tahu tentang crypto currency (mata wang internet) ini.
11 Perkara Asas Bitcoin Malaysia
Berikut adalah asas-asas yang anda perlu tahu.
1. Apakah Itu Bitcoin?
Bitcoin adalah satu jenis mata wang tanpa duit kertas, tanpa syiling dan hanya boleh digunakan dalam talian. Senang cerita ia adalag mata wang digital.
Dalam era internet dan digital sekarang, kebanyakan benda sudah mampu dilakukan secara dalam talian – membuat panggilan, meeting, menonton televisyen dan sebagainya.
Dan mata wang ingin menjadi salah satu bentuk pembayaran kepada servis-servis tersebut. Saksikan video di bawah untuk bantuan grafik (lebih senang faham)
2. Siapa Yang Menciptakannya?
Konsep Bitcoin dibangunkan oleh Satoshi Nakamoto. Dia merupakan seorang yang berasal dari Jepun, tetapi ID email beliau adalah dari Jerman dan bahkan bicoin tidak digunakan di Jepun – hmm pelik pelik.
Dia bangunkan sistem tersebut pada 2009, tetapi menghilangkan diri pada 2010.
Pembangun bersama sudah tidak mendengar daripadanya lagi, dan terdapat banyak spekulasi terhad identiti beliau.
3. Jadi Apa Yang Istimewa Sangat Dengan Sistem Ini?
Sistem dan konsep ini membenarkan anda membuat transaksi secara tersembunyi – tiada siapa akan dapat tahu tentang transaksi tersebut, berapa jumlah, untuk siapa, kepada siapa, bila dan untuk apa. 100% tidak dikawal oleh sesiapa.
Sebelum ini, setiap transaksi online perlukan pihak ke-3 seperti bank atau payment processor seperti Paypal dan sebagainya. Tetapi untuk Bitcoin, tiada pihak ke-3 itu. Hanya anda dan penerima, seperti yang kita biasa lakukan dengan transaksi harian biasa.
Perkara ini tidak mustahil kerana sistem tersebut berasaskan peer-to-peer (P2P), tidak dikawal oleh mana-mana pihak.
Satoshi Nakamoto juga menyelesaikan masalah double spending di dalam sistem tersebut.
4. Apakah Double Spending?
Kita semua boleh membuat banyak salinan (copy) dengan fail digital, contoh: orang copy software dan kemudian jual sebagai cetak rompak. Itu juga boleh berlaku kepada mata wang digital, sesiapa sahaja boleh copy wang tersebut, kemudian gunakannya sebanyak mana yang dia mahu.
Satoshi selesaikan masalah ini dengan menunjukkan semua transaksi tersebut kepada awam (public listing). Setiap transaksi baharu yang dilakukan, ia akan diperiksa dan disahkan bahawa ia tidak pernah digunakan sebelum ini.
5. Bagaimana Public Listing Dianggap Anonymous?
Public listing hanya menunjukkan transaksi ID dan jumlah mata wang yang dipindahkan. Identiti anda akan kekal rahsia di dalam sistem, dan anda tidak perlu memberikan nama, alamat, email dan sebagainya.
6. Bagaimana Untuk Menggunakan Bitcoin?
Bitcoin akan disimpan di dalam digital wallet yang anda boleh simpan di dalam komputer atau dalam website. Anda boleh memiliki sebanyak mana wallet dan alamat bitcoin yang anda mahu.
Anda juga boleh menggunakan software bitcoin di dalam Tor untuk mengelakkan daripada IP anda dijejak.
7. Berapa Ramai Orang Menggunakan Mata Wang Ini?
Pada masa artikel ini ditulis, sudah sebanyak 13 juta bitcoin dihasilkan, dalam sekitar anggaran RM20 billion (ya, mengikut kadar pertukaran sekarang, 1 bitcoin = RM1537)
Bahkan kerajaan negara Canada ingin mencipta crypto-currency mereka sendiri dengan memberi nama MintChip.
8. Bagaimana Untuk Mendapatkannya?
Untuk mendapatkan bitcoin, anda boleh lakukan 3 perkara:
1. Mining (Melombong)
2. Pertukaran mata wang melalui servis pembekal seperti Mt.Gox
3. Menyediakan servis atau jual barang, menerima pembayaran melalui platform tersebut
9. Apakah Mining?
Mining adalah proses ekstrak mata wang tersebut. Setiap kali transaksi bitcoin, ia perlu diproses. Memandangkan platform ini adalah percuma dan tiada siapa yang mengawalnya, bitcoin perlukan sokongan dari pengguna yang lain untuk kekal beroperasi.
Dan proses ini dilakukan oleh komuniti pengguna itu sendiri. Setiap transaksi yang berjaya dilakukan, anda akan diberikan sedikit bitcoin sebagai ganjaran.
Bitcoin mining adalah satu bisnes yang besar – ada sesetengah agensi yang memanfaatkan mining untuk mengaut keuntugan. (saksikan video ini)
Untuk mining, anda perlukan satu software yang dikenali sebagai Bitcoin Miner.
10. Bagaimana Berbelanja Dengannya?
Berbelanja dengan bitcoin tidak jauh bezanya dengan berbelanja seperti biasa. Pemberi dan penerima perlulah mempunyai wallet/akaun bitcoin.
Anda boleh menghantar bitcoin kepada sesiapa, membeli barang, membayar servis atau berikan derma kepada pertubuhan seperti Wikileaks, P2P Foundation dan sebagainya.
11. Status Bitcoin Di Malaysia
Tidak boleh dinafikan bahawa sudah ramai orang berkecipung dengan Bitcoin ini, bahkan di Malaysia. Jika anda lakukan pencarian Google, terdapat banyak website yang menyediakan panduan mata wang ini di Malaysia.
Cuma, dari sudut pandangan kerajaan dan Bank Negara Malaysia, mereka tidak bersetuju dengan konsep ini. Berdasarkan satu kenyataan rasmi bertarikh 2 Januari 2014, BNM tidak iktiraf mata wang digital ini dan menyarankan pengguna agar berhati-hati. Rujuk di sini.
Menurut Lee White, CEO of Chartered Accountants Australia and New Zealand pula menyatakan bahawa Malaysia terlalu awal untuk mengaplikasikan mata wang digital, lebih-lebih lagi terdapat kes hack di dalam sistem platform tersebut. Saksikan temu bual penuh bersama beliau di bawah.
Liputan dari The Verge (SoundCloud)
The Verge pernah membuat liputan tentang mata wang ini di Soundcloud, anda boleh mendengarnya melalui link ini.
Kesimpulan
Tidak dinafikan bahawa penggunaan Bitcoin ini sangat maju dan sesuai kepada orang yang sangat pentingkan privasi.
Cuma satu masalah adalah apabila platform ini disalahgunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab – perkara ini dirujuk kepada transaksi jenayah dan penyeludupan di dalam deep web.
Harap artikel ini memberikan pencerahan kepada anda yang ingin tahu dan bergiat di dalam dunia crypto-currency.
Apakah yang anda rasa tentang Bitcoin ini? Sila kongsikan pandangan anda di bahagian komen di bawah.
Sekian~