Perkataan Chromebook bukanlah sesuatu yang sering diperkatakan di Malaysia. Kenapa? Sebab kurang didedahkan dan tidak permintaan dalam kalangan masyarakat di sini.
Tapi, sedar atau tidak, Chrome book ini telah mendominasi pasaran laptop dalam kalangan pelajar di Amerika Syarikat pada tahun 2014.
Chromebook ini unik, lain dari laptop yang lain. Ia menggunakan Chrome OS, iaitu satu operating system yang dihasilkan oleh Google – seperti namanya, Chrome OS ini berasaskan daripada web browser Chrome.
Chromebook ini direka untuk beroperasi secara optimum dengan adanya internet. Hampir semua data yang disimpan di dalam Chrome book akan di-link kepada cloud storage, Google Drive.
#1: Asas-Asas Chromebook
Sistem operasi ChromeOS ini sangat ringan, anda boleh boot sistem ini dalam masa 7 saat sahaja, sangat pantas jika dibandingkan dengan model-model laptop menggunakan Windows.
Apabila anda boot chromebook, apa yang anda akan dipaparkan adalah aplikasi dan servis oleh Google seperti Gmail, Youtube, Maps, Calendar dan sebagainya. Anda tidak boleh install software secara sesuka sepertimana yang anda boleh dengan windows. Aplikasi yang anda boleh install adalah terhad kepada Chrome apps sahaja.
Pada masa yang sama, anda mendapat 100GB cloud storage secara percuma dengan setiap pembelian Chrome book ini. Ia macam Dropbox tetapi produk dari Google. Apa yang senang dengan menggunakan cloud storage ini adalah, anda boleh akses semua file anda dimana-mana sahaja.
#2: Penggunaan Secara Offline
Kebanyakan Chrome book boleh connect kepada Wifi dan 3G, tetapi di Malaysia, ada kalanya internet menjadi masalah dan anda tidak dapat connect langsung. Jadi, bagi pengguna chromebook macam mana?
Jangan risau kerana anda boleh akses sesetengah file anda secara offline dengan chromebook. Anda masih boleh menulis email dengan Gmail Offline dan menaip dokumen dengan Google Drive Online.
Aplikasi offline ini akan sync secara automatik dan save sebarang perubahan yang anda lakukan semasa tidak connect pada internet.
Berikut adalah senarai aplikasi Chrome OS yang membenarkan beroperasi tanpa talian internet:
- Periksa kalendar
- Menaip email dengan Gmail Offline
- Buka dan sunting dokumen dengan Google Drive
- Mendengar muzik
- Menulis nota dengan Google Keep
- Simpan webpage
- Aplikasi game seperti Angry Birds
#3: Spesifikasi
Chromebook direka untuk mengakses internet, dan semua model-model chromebook dipasaran dikawal ketat oleh Google dari segi spesifikasinya. Kenapa? Untuk mengurangkan harga, agar boleh dimiliki oleh semua orang, terutama bagi golongan pelajar sekolah dan universiti.
RAM: Biasanya, Chrome book akan datang dengan RAM sebanyak 2GB, kerana ia sudah cukup untuk run OS serta aplikasi web. Namun, bagi pengguna yang mahukan multitasking, anda boleh sahaja memilih model 4GB (harga sedikit mahal, tetapi lebih berbaloi)
Storan: Semua model Chrome book mempunyai sekurang-kurangnya 16GB SSD storan. Storage yang kecil kerana Google menggalakkan anda menggunakan servis Cloud mereka (100GB kot). Dengan cara ini, Google juga boleh mengurangkan kos chromebook kepada pengguna. Perlukan lebih? Anda sentiasa ada pilihan untuk memasukkan memori kad sehingga 128GB ke dalam model chromebook ini.
Prosesor: Chrome book bukanlah dibuat untuk render video, atau bermain game. Ianya lebih kepada kerja-kerja menaip, dokumen, email dan sebagainya. Oleh sebab itu, anda tidak boleh berharap untuk mendapatkan Core i5 atau i7 di dalam model-model chromebook yang biasa. (Kecuali, Chromebook Pixel)
Saiz dan Resolusi Skrin: Chrome book menawarkan beberapa saiz, tetapi biasanya 11.6 inci. Namun, terdapat juga model yang datang dalam 13, 14 dan 15 inci. Tetapi, salah satu masalah yang besar bagi chromebook ini adalah resolusi skrinnya. Kebanyakan model yang murah mempunyai skrin yang tidak memuaskan, serta viewing angle juga sangat mengecewakan. Bukan semua, tetapi kebanyakan.
Bateri: Chrome book mempunyai bateri yang boleh bertahan lama. Berapa lama? Bergantung kepada model, tetapi jangan terkejut kalau ada yang boleh bertahan sehingga 8-12 jam. Hal ini praktikal kerana chromebook tidak memerlukan hardware yang memakan banyak tenaga.
#4: Had Penggunaan
Semasa artikel ini ditulis, chromebook mempunyai beberapa had, ya chrome book tidak sempurna. Sebagai contoh, bagi pengguna yang bergantung kepada Photoshop, mereka tidak boleh install software tersebut di dalam Chromebook. Terdapat aplikasi gantian yang dikenali sebagai Pixlr, tetapi tidak setanding dengan PS, jauh sekali.
Satu lagi, kebanyakan chromebook mempunyai resolusi skrin yang rendah. Perkara ini tiada masalah jika anda menggunakannya untuk menaip atau membuka email. Tetapi, bagi yang suka stream video seperti Youtube, ia menjadi satu kekurangan.
Mencetak (print) dan Bluetooth menjadi satu masalah besar bagi pengguna Chrome book. Anda boleh menggunakan Clou Print dari Google, tetapi sangat terhad kepada model-model printer, serta tidak praktikal dan universal. Bluetooth pula tidak stabil dan sering mengalami masalah.
Harga chrome book sangat murah jika dibandingkan dengan model laptop windows biasa, dan anda dapat dengan apa yang anda bayar – build quality chromebook juga sangat rendah. Keyboard dan trackpad pada chromebook tidak seberapa baik, jika anda 100% guna trackpad, anda mungkin mengalami sedikit kekecewaan.
#5: Chrome Book Sebagai Laptop Utama
Anda mungkin menganggap bahawa penggunaan chromebook ini boleh dijadikan satu gantian laptop/desktop untuk sementara sahaja. Tetapi anda perlu ingat bahawa Google adalah syarikat disebalik produk ini. Oleh itu, anda boleh mengharapkan bahawa ianya akan berkembang.
Tidak mustahil pada masa hadapan, Chrome OS ini sudah menyokong pelbagai aplikasi pro dan mempunyai binaan kualiti yang lebih tinggi. Bahkan, sekarang pun kita sudah boleh lihat perkembangnya oleh pengeluar Acer dan Asus, yang mana mula memperkenalkan model chromebook yang premium (lebih mahal, dan lebih berkuasa).
Berdasarkan kadar jualan dan statistik, chrome book mula menjadi pilihan sekolah untuk mengajar pelajar-pelajar mereka tentang IT (dahulunya Macbook Air). Bahkan, chromebook menjadi bestseller di Amazon sejak tahun 2013. Chromebook memang ada potensi yang besar dalam industri komputer.
Chrome Book Di Malaysia?
Kemudian, kita akan tertanya-tanya dimanakah saya boleh dapatkan Chrome book ini?
Walaupun chrome book ini sudah digunakan lebih dari 2 tahun di US, pasarannya masih sangat kecil di Malaysia, mungkin tiada permintaan dan minat dari kalangan pengguna komputer.
Kenapa? Sebab chrome book sangat bergantung kepada Cloud, dan sudah pasti perlukan rankaian internet yang stabil dan mantap. Internet di Malaysia diragui. Oleh sebab itu, orang tidak berminat untuk memiliki laptop ini.
Yes pernah mempromosikan chrome book ini dengan plan internet mereka (dengan model chromebook oleh Samsung), tetapi kebanyakan chrome book tersebut di jual kembali di Mudah.my
Dan sekarang pula, Lazada Malaysia mencuba nasib dalam pasaran Chrome book ini. Anda boleh membuat pesanan chromebook dari Lazada melalui link ini.
Kesimpulan
Salah satu tujuan Chromebook dihasilkan adalah untuk meluaskan pengguna internet dengan menyediakan platform dan laptop mampu milik. Dengan harga yang murah, anda boleh agak pasti ada sedikit kekurangan.
Chrome book tidak sesuai kepada orang yang sukar adapt dengan suasana yang baharu, ataupun bagi orang yang terikat dengan software proprietari seperti Photoshop dan sebagainya.
Namun, bagi pengguna yang hanya perlukan laptop untuk menaip, bermedia sosial, membuka email, serta perlukan laptop yang boleh bertahan lebih lama dengan bateri, chrome book ini mungkin untuk anda.
Harap artikel tentang chromebook ini membantu anda memahami apakah itu chrome book dan menjawab persoalan anda sekiranya berminat untuk memilikinya.
Sekian~
Adakah chromebook ini sesuai digunakan untuk online class seperti odl?adakah ia menyokong aplikasi seperti google class,google meet,dan aplikasi seperti WhatsApp, Instagram
Hi.. Agak² chromebook ni praktikal tak utk org yg nak run bisness dekat shoppe? Tq.
Chromebook ni tidak boleh install microsoft office ke?
Ok terima kasih byk2x . Info yg bagus sekali.