Pada seketika dahulu, pengguna PC tidak mempunyai banyak pilihan akan jenis storage yang mereka boleh gunakan di dalam latop mahupun desktop. Jika anda membeli ultrabook atau ultraportable, anda mungkin mendapat SSD.
Namun sekarang, pengguna PC sudah mampu milik HDD dan SSD (kerana harga sudah turun). Maka, menjadi satu persoalan manakah yang lebih baik di antara Hard Disk Drive dan Solid State Drive?
Jawapan tersebut bergantung kepada bagaimana anda mahu gunakan komputer tersebut. Secara terperinci, kami olah kebaikan dan keburukan kedua-dua jenis storage ini dan yang mana terbaik kepada anda.
Penerangan: HDD dan SSD
Hard disk drive (HDD) merupakan jenis storage yang sudah lama digunakan dalam komputer. HDD ini menggunakan cakera keras, dan berpusing untuk membaca dan menulis data dengan bantuan satu jarum.
HDD biasanya datang dalam kapasiti yang besar, di antara 500GB hingga 3TB. Dan ianya juga datang dalam dua saiz, iaitu 2.5″ (untuk laptop) dan 3.5″ (untuk desktop).
Solid State Drive (SSD) pula, dari segi fungsi tiada bezanya (simpan data, OS dan sebagainya), tetapi berbanding dengan HDD, ianya tidak menggunakan cakera keras. Ia menyimpan semua data di dalam flash memory chip. Konsep ini seakan anda simpan data di dalam pendrive atau memory card. Kaedah ini lebih pantas dan teguh.
Solid State Drive boleh didapati dalam 3 jenis, iaitu standard 2.5″ drive, M.2 dan PCIE (untuk enthusiast). Harganya agak mahal jika dibandingkan dengan HDD yang sama besar kapasiti, tetapi 2-3 kali ganda lebih laju dalam read/write.
Kelebihan dan Kekurangan
Kedua-dua storan ini memainkan peranan yang sama: Boot OS, simpan data, simpan fail aplikasi dan lain-lain. Tetapi kedua-duanya ini mempuyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.
1. Harga
Secara kasar, SSD jauh lebih mahal berbanding dengan HDD (dari sudut ringgit untuk setiap GB). Biasanya harga SSD adalah 2-3 kali ganda HDD yang sama kapasiti. Perkara ini agak logik kerana HDD sudah lama digunakan, manakala solid state drive masih baru – oleh sebab itu HDD sangat murah.
TL,DR: HDD lebih murah
2. Kapasiti
Jika dibandingkan dari segi kapasiti, biasanya SSD yang dipilih oleh rakyat Malaysia adalah di antara 128GB hingga 512GB – walaupun kapasiti tertingginya sudah mula mencecah 4TB, tetapi tersangat mahal dan tersangat jarang dijumpai.
HDD pula, kapasiti yang paling kecil yang boleh dijumpai semasa artikel ini ditulis adalah 500GB, dan sehingga 3TB – walaupun kapasiti yang besar, harganya masih dikira mampu milik kerana pasaran data storan yang semakin pesat.
TL,DR: HDD lebih besar
3. Kelajuan Baca/Tulis
Bab kelajuan adalah dimana SSD menyerlah. Dengan menggunakan SSD, anda boleh harapkan komputer anda boot dalam beberapa saat sahaja (dengan syarat tiada bloatware). Bagi HDD pula, inilah kelemahan terbesarnya – HDD sangat lambat.
Biasanya, laptop dan komputer yang menggunakan HDD perlu sekurang-kurangnya seminit atau dua untuk boot kedalam OS.
Dengan kelajuan yang tinggi, anda boleh melancarkan aplikasi dan membuka fail-fail besar dalam jangka masa yang lebih singkat, lantas menjimankan masa dan meningkatkan kadar produktiviti.
TL,DR: SSD lebih laju
4. Fragmentation
Bagi HDD, ia sudah direka untuk menulis data secara dalam bentuk “blok” pada cakera keras. Data-data akan mula berselerak apabila anda banyak memindah data, delete fail, menyimpan movie dan sebagainya. Apabila perkara itu berlaku, ia akan melambatkan sistem proses data.
Oleh sebab itu, bagi pengguna HDD, mereka dinasihatkan untuk kerapkan defrag (dengan menggunakan software) HDD mereka untuk menyusun kembali data-data tersebut.
Manakala, bagi pengguna SSD, mereka tidak perlu sebarang fragmentation ke atas data-data mereka – kerana kaedah penyimpanana datanya tidak sama dengan HDD. Malah, anda boleh rosakkan SSD jika melakukan fragmentation.
TL,DR: SSD tidak perlu defrag
5. Ketahanan
Solid State Drive tidak mengandungi sebarang bahagian yang bergerak, oleh sebab itu kita boleh simpulkan bahawa ianya lebih lasak, dan lebih tahan jika laptop anda terjatuh dan sebagainya. HDD mempunyai cakera dan jarum, dan akan berpusing semasa beroperasi – sekiranya laptop anda terjatuh, terdapat risiko yang jarum hard disk tersebut patah dan sebagainya.
TL,DR: SSD lebih tahan lasak
6. Availability
Buat masa ini, HDD mempunyai lebih banyak pilihan. Terdapat banyak pengeluar HDD, termasuklah Western Digital, Toshiba, Seagate, Samsung, dan Hitachi. Oleh sebab itu, anda lebih senang untuk dapatkan pelbagai pilihan untuk HDD, tetapi tidak bagi SSD.
Masa artikel ini ditulis, jika anda pergi ke kedai komputer yang kecil-kecilan, mereka mungkin tidak menawarkan SSD. Jika ada pun, hanya satu dua jenama sahaja.
TL,DR: HDD lebih senang untuk didapati
7. Bunyi
HDD mempunyai bahagian yang berpusing semasa ia beroperasi, dan ini secara tidak langsung akan mengeluarkan bunyi, walaupun sedikit. Bagi Solid State pula, yang mana 100% chip, tidak mengeluarkan sebarang bunyi langsung.
TL,DR: SSD tidak mengeluarkan bunyi
Keseluruhan
HDD menang dari segi harga, kapasiti dan availability
SSD menang dari segi kelajuan, daya tahan, bunyi dan fragmentation
Jika anda tidak risau akan harga dan kapasiti, Solid State Drive sudah pasti satu pembelian yang lebih baik kepada anda.
Apakah Yang Terbaik Untuk Anda?
Jadi, untuk memberikan kepastian kepada anda, berikut adalah beberapa pecahan apa yang terbaik untuk HDD dan SSD:
HDD Sesuai Untuk:
- Pengguna multimedia dan kaki download: video, movie, lagu dan sebagainya – mereka perlukan kapasiti yang besar untuk menyimpan semua data tersebut.
- Pengguna bajet: memandang HDD lebih murah, maka ini menjadi pilihan bagi orang yang sedang menjimat dalam komputer mereka.
- Pereka grafik: untuk menyimpan semua fail video atau gambar berresolusi tinggi, pereka grafik perlukan kapasiti yang lebih tinggi.
- Pengguna biasa: pengguna komputer yang biasa, yang hanya gunakan komputer unutk akses internet, menonton Youtube dan sebagainya mungkin tidak perlukan SSD.
SSD Sesuai Untuk:
- Pengguna yang pentingkan masa: SSD boleh respon dengan lebih pantas, lantas menjimatkan banyak masa. Ia boleh boot OS dalam jangka masa yang sangat singkat dan membuka fail dengan lebih laju. OS juga akan respon dengan lebih efisien.
- Pereka Grafik: bagi mereka yang perlu lancarkan aplikasi berat seperti Adobe suite dengan lebih laju, dan proses fail video besar, mereka lebih baik mendapatkan SSD.
Oh ya, anda boleh sahaja menggunakan kedua-dua Solid State dan Hard Disk Drive di dalam satu komputer, install OS dan semua aplikasi di dalam SSD, manakala simpan semua fail dan data di dalam HDD. Dengan cara ini, anda boleh dapatkan best of both world.
Video Tambahan
Ingin penjelasan yang lebih mendalam tentang perbandingan ini? Anda boleh lihat penjelasan dari Linus (TechQuickie) di bawah:
Dimana Boleh Beli SSD Ini?
Anda boleh mendapatkan Solid State Drive di kedai-kedai komputer yang berdekatan. Untuk permulaan, anda boleh bermula dengan saiz kecil terlebih dahulu, seperti 128GB atau 256GB dengan harga yang berpatutan.
Anda juga boleh dapatkan SSD (tawaran hebat) dengan memesan secara online dari Lazada atau IPMart. Anda boleh klik di sini untuk melihat tawaran Solid State Drive terbaik di Lazada Malaysia.
Kesimpulan
Secara ringkas dan neutral, kedua-dua SSD dan HDD ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Yang mana terbaik untuk digunakan adalah bergantung kepada bagaimana anda gunakan komputer anda.
Harap artikel ini dapat membantu anda membuat pilihan sama ada untuk membeli HDD atau SSD untuk komputer atau laptop anda.
Sekian~