Hidup ini boleh memberikan tekanan kepada diri. Perkara itu adalah perkara yang biasa, dan kadang kala anda perlu mengatasinya dengan cara yang positif.
Tekanan diri ataupun stress boleh berlaku disebabkan oleh masalah keluarga, masalah di tempat kerja, masalah kewangan, kesihatan ataupun kematian sesiapa yang berharga bagi anda.
Adalah wajar bagi anda untuk mengenal pasti penyebab stress kerana anda boleh mengatasinya dengan cara dan kaedah yang betul. Yang paling penting adalah jangan berhadapan dengan stress seorang diri. Dapatkan bantuan daripada rakan-rakan, ahli keluarga ataupun daripada seorang yang pakar.
Adakah anda bersedia? Jom baca artikel ini sekarang! Harap anda tidak stress baca artikel ini..
Kaedah #1: Tukar Gaya Hidup
Percaya atau tidak, tahap tekanan diri seseorang ditentukan oleh gaya hidup dan suasana di sekeliling mereka. Berikut adalah beberapa langkah yang anda boleh ambil untuk menukar gaya hidup anda yang sedia ada:
1. Banyakkan Senaman
Senaman sudah lama dipraktikkan untuk membebaskan badan daripada hormon stress dan meningkatkan tahap endorphin dalam badan – yang mana bertanggungjawab untuk memberikan anda rasa gembira dan seronok. Cuba dapatkan masa untuk bersenam dalam kesibukan berkerja. Selain membantu anda menghilangkan stress, ia juga dapat menyihatkan badan anda.
Cuba tingkatkan kadar degupan jantung kepada 120-180 seminit selama 30 minit sehari (melalui senaman). Sekiranya anda tidak mempunyai masa selama itu, anda juga boleh memecahkan jangka masa tersebut kepada beberapa pecahan, seperti 10 minit waktu pagi, 10 minit tengah hari dan 10 minit lagi pada sebelah petang.
Berjalan selama 20-30 minit setiap hari juga dianggap sudah cukup, jika itu sahaja yang anda mampu. Berjalan bukan sahaja efektif dalam mengatasi masalah stress, bahkan ia juga boleh memberikan kecerdasan tambahan kepada diri anda. Mengikut satu kajian, orang dewasa 40-an yang kerap berjalan sekurang-kurangnya 150 minit seminggu boleh meningkat jangka hayatnya selama 3-4 tahun!
Berenang, mendaki dan berbasikal juga mempunyai potensi untuk mengurangkan stress. Aktiviti-aktiviti ini sesuai kepada orang yang mengalami masalah urat dan otot kerana senaman ini tidak memerlukan pergerakan yang banyak dan kuat.
2. Dapatkan Tidur Yang Mencukupi
Tidur boleh mengembalikan tenaga badan anda. Jika anda tidak mendapat tidur yang mencukupi, badan akan memberikan tekanan kerana perlukan tenaga untuk berfungsi. Dewasa memerlukan sekurang-kurangnya 7-8 jam tidur setiap hari. Manakala, kanak-kanak dan warga emas memerlukan tidur yang lebih, sekitar 9-10 jam sehari. Namun ia bergantung kepada keperluan seseorang.
Sebaik-baiknya anda perlu tetapkan waktu tidur anda. Ini bermaksud, anda perlu masuk tidur pada waktu dan bangun pada waktu pagi yang sama setiap hari. Kekalkan kitaran tidur boleh mengajar/membiasakan badan anda untuk mengatur waktu tidur yang sesuai dalam sesuatu keadaan.
Tidur amat penting dalam mengatasi masalah stress, hal ini kerana terdapat sejumlah besar orang akan menyalahkan stress mengganggu tidur mereka. Jika anda tidak mengatur waktu tidur dengan baik, lebih baik jangan jadikannya sebagai punca anda stress pula.
3. Makan Makanan Yang Berkhasiat
Badan anda perlu sihat, kuat dan mempunyai khasiat yang mencukupi untuk mengatasi masalah stress. Tekanan diri boleh dikaitkan dengan pemakanan, kerana terdapat reaksi dalam badan yang boleh menyebabkan dan menghilangkan stress.
1. Air boleh menghilangkan stress. Hal ini kerana badan yang kurang air membentuk/mengeluarkan cortisol, salah satu hormon stress.
2. Anda digalakkan mengurangkan pengambilan kafein. Hal ini kerana bahan tersebut boleh meningkatkan tahap stress, terutama semasa berkerja. Jadi anda dinasihatkan supaya mengamalkan peminuman air masak ataupun air mineral.
3. Makan sarapan yang berkhasiat. Adalah baik sekiranya anda makan beberapa kali dengan kadar yang sedikit (tapi berkhasiat) berbanding dengan makan 3 kali seharian (tapi tak berkhasiat).
Untuk makanan yang boleh membantu anda mengurangkan stress, anda digalakkan untuk memakan makanan yang tinggi kadar karbohidrat seperti roti dan pasta, makanan yang tinggi vitamin A seperti buah limau, makanan yang tinggi magnesium seperti bayam, kacang soya atau ikan salmon, dan teh hijau, yang mana mempunyai kadar anti oksida yang banyak.
4. Belajar untuk Bertenang (Rileks)
Salah satu cara mengatasi masalah stress adalah dengan bertenang dan belajar untuk rileks. Namun, jangan berharap tekanan tersebut akan hikang serta merta, ia memerlukan masa. Setiap kali anda merasakan tekanan ataupun tekanan, cuba menyedup udara dan hembus, beberapa kali. Ulang sehingga rasa tekanan tersebut hilang.
i. Dengar muzik yang menyenangkan. Tidak dinafikan bahawa sesetengah muzik boleh memberikan ketenangan kepada anda. Cuba anda mendengar muzik instrumen ataupun muzik akustik berbanding dengan muzik yang sedang trending dalam radio. Hal ini kerana kebanyakab muzik pada zaman sekarang akan menyebabkan stress anda semakin teruk.
ii. Mandi. Masukkan mandian yang wangi ataupun aromaterapi kedalam tab anda. Sekiranya anda tidak memiliki tab, anda boleh menggunakan sabun yang mempunyai wangi-wangian yang anda rasa boleh memberikan ketenangan kepada anda.
iii. Dapatkan urutan badan. Sama ada anda mendapatkan urutan daripada seseorang yang pakar ataupun seseorang anda sayang, ia boleh memberikan kesan yang baik kepada anda. Jika tidak ada seseorang di sisi anda, anda masih ada pilihan untuk mendapatkan kerusi urur seperti Ogawa dan lain-lain. Ia juga boleh membantu anda menghilangkan stress.
iv. Memulakan diari ataupun jurnal peribadi. Anda tidak perlu menulisnya setiap hari. Catat apa-apa yang mengganggu anda, apa yang anda tidak suka, dan punca-punca yang menyebabkan anda stress. Ini merupakan cara alternatif kepada anda untuk meluahkan semua masalah dan tekanan diri.
6. Melakukan Perkara yang Anda Suka
Stress juga boleh diatasi dengan melakukan perkara yang anda suka, tidak kiralah perkara itu merupakan satu hobi, sukan, ataupun apa-apa. Yang penting adalah sesuatu di mana anda merasa gembira dan tenang jika melakukannya.
Selain itu, anda juga boleh mencuba sesuatu yang baharu, seperti menunggang kuda, memancing, memanah dan sebagainya. Mempelajari sesuatu yang baharu boleh menghindari fikiran anda daripada masalah dan stress.
Sekiranya anda sangat sibuk dan tidak mempunyai masa untuk melakukan hobi dan bersukan, anda boleh cuba memberikan masa untuk anda berehat. Ambillah masa sekitar 10 minit untuk menghilangkan rasa letih dan tekanan semasa berkerja. Gunakan masa tersebut dengan berbual dengan rakan sekerja, minum kopi ataupun menonton video lawak kucing di Youtube.
Kaedah #2: Hilangkan Stress Dengan Aktiviti Mental
Stress sering kali dikaitan dengan masalah emosi. Oleh itu, anda boleh mengatasi masalah stress ini dengan kawalan emosi yang betul. Berikut adalah beberapa cara yang anda boleh ikuti:
1. Elakkan Pemikiran Negatif
Berfikiran positif boleh memberikan yang baik kepada anda, sekiranya anda dalam keadaan tertekan. Elakkan diri anda daripada memikirkan perkara-perkara yang negatif, dan cuba banyakkan memikirkan sesuatu yang positif.
Apa yang paling penting adalah anda perlu banyakkan bersyukur kerana setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Anggaplah semua yang berlaku itu adalah sebahagian daripada ujian Tuhan.
i. Mulakan hari anda dengan fikiran yang positif. Ini boleh memberikan semangat kepada anda untuk memulakan pekerjaan seharian. Selain itu, gunakan perkataan-perkataan yang baik setiap hari, sebagai contoh “Saya akan cuba menyiapkannya dengan sebaik mungkin“, janganlah menyatakan “Nantilah saya akan cuba kalau ada masa“.
ii. Tambahan lagi, anda juga boleh mencuba tenangkan diri dengan membaca buku-buku motivasi ataupun buku biografi orang yang berjaya. Janganlah pula anda merasakan rendah diri kerana orang disekeliling anda berjaya dan anda tidak. Jadikan mereka sebagai satu sumber inspirasi, bukannya sumber dengki.
2. Mengatur Hidup Anda
i. Tetapkan satu matlamat harian anda dengan teratur. Salah satu caranya adalah dengan mencatat tugasan kedalam planner ataupun to-do list anda, sama ada dalam buku nota ataupun telefon bimbit, tidak kisah. Dengan mengatur masa anda dengan baik, anda boleh mengurangkan kasar stress anda kerana anda dapat menyiapkan tugasan yang diberi dalam masa yang ditetapkan.
ii. Ketahui had diri anda. Jadi jujur kepada diri anda, tetapkan apa yang anda rasa anda boleh capai dan anda tidak boleh. Ya, bercita-cita tinggi patut ada dalam hidup seseorang, namun semua ada hadnya.
iii. Utamakan apa yang penting. Dalam menjalankan tugasan, anda perlu utamakan apa yang penting terlebih dahulu. Adalah terbaik jika anda susun tugasan mengikut keutamaan terlebih dahulu.
iv. Selain itu, anda juga boleh melakukan kerja-kerja yang anda tidak suka pada permulaan hari. Hal ini kerana pada waktu pagi anda akan lebih ceria dan bertenaga. Ini untuk mengelak daripada anda melakukan kerja yang anda tidak gemari masa anda sudah penat, kebiasaannya pada sebelah petang.
Prestasi anda akan menurun sekiranya anda melakukan sesuatu kerja dalam keadaan penat dan lebih-lebih lagi kalau tugas itu sesuatu yang anda tidak gemari.
v. Utamakan kualiti bukannya kuantiti yang anda lakukan. Sesuatu yang anda lakukan dengan sepenuh jiwa akan mendapat pulangan yang lebih bermakna kepada anda berbanding dengan sesuatu yang anda lakukan dengan tergesa-gesa.
vi. Sebelum anda tidur, berikan sedikit ulasan tentang apa yang sudah anda capai dan apa yang masih belum. Muhasabah diri. Tambahan, sebelum anda lelapkan mata, lebih baik jika anda sediakan perancangan untuk hari keesokannya.
3. Tentukan Faktor-Faktor Masalah Stress Anda
Pastikan anda tahu kenapa anda menjadi stress supaya anda bolwh mencari jalan keluar ataupun mengelak daripadanya.
Jika anda perasan yang anda akan tertekan pada sesetengah waktu ataupun seseorang, cuba elakkan daripada berjumpa dengannya.
Sekiranya anda sudah mengetahui apa yang menyebabkan stress kepada anda, adalah terbaik jika anda boleh bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.
4. Berhenti Risaukan Sesuatu Yang Anda Pasti Tidak Boleh Mengubahnya.
Sebagai contoh perkara politik, kematian seseorang, perkara yang sangat menduka citakan dan sebagainya. Belajar untuk menerima hakikat adalah penting dalam hal ini.
Semakin lama anda bimbangkannya, semakin tertekan anda akan hadapi. Dan jika anda biarkan perkara ini berterusan, ia mungkin akan memberikan kesan yang sangat teruk kepada anda.
Jangan besarkan sesuatu yang kecil.
5. Lakukan Tanggungjawab Anda
Dalam apa-apa kerja, membuat keputusan yang melibatkan orang lain (eg. keputusan syarikat), sangat memberikan tekanan kepada diri anda. Pilihlah sesuatu yang anda rasa berjaya dan teruskannya!
Namun begitu, anda juga perlu belajar untuk menyatakan TIDAK kepada sesuatu. Anda tidak boleh melakukan semua perkara, setiap manusia ada kelemahan masing-masing.
Jangan merasakan rendah diri jika anda melakukan kesilapan (jika anda sudah bekerja keras untuk mendapatkan hasil). Kesilapan adalah perkara yang biasa dan anda perlu ada usaha untuk bangun semula.
6. Nilai Jenaka
Jangan mengambil kira semua benda dengan sangat serious, kadang kala anda perlu tengok keadaan, tempat dan masa yang sesuai. Dalam hidup ini anda juga perlu menilai gelak ketawa dan jenaka. Percayalah dengan bergembira dan gelak kepada jenaka boleh mengurangkan tekanan diri anda.
7. Belajar Untuk Menghargai Kawan dan Ahli Keluarga
Ini adalah satu cara yang berkesan mengatasi masalah stress. Jangan menyembunyikan tekanan anda, sebaliknya dapatkan ahli keluarga ataupun kawan untuk berkongsi masalah.
Sekiranya mereka sayangkan anda, mereka pasti akan menolong anda tidak kira bagaimana pun situasi anda. Mereka boleh memberikan bantuan tidak kira apa pun. Anda cuma perlu mengadu dan memberitahu mereka semuanya.
Dapatkan nasihat yang positif dan tinggalkan apa yang negatif. Ambil yang jernih buang yang keruh. Dikelilingi orang yang rapat dan sayangkan anda boleh membantu hilangkan stress, bahkan boleh mencegah anda daripada stress!
Kaedah #3: Jadi Diri Anda Sendiri Ketika Berhadapan Dengan Masalah Stress
1. Jujur dan berterus terang. Sekiranya anda dalam keadaan tertekan dan ada seseorang cuba memberikan masalah kepada anda, berterus terang dengan menyatakan masalah anda. Mereka akan cuba memahami.
2. Beritahu orang yang terdekat dengan anda tentang masalah tekanan anda. Ataupun, anda boleh memberitahu sesiapa yang berkaitan dengan punca stress anda. Sekiranya di tempat kerja, bagitahu bos; kalau di universiti, bagitahu penasihat akademik.
3. Dapat sesuatu yang anda boleh lepaskan perasaan. Sebagai contoh anda boleh menggunakan bola ataupun punching bag. Apa yang anda perlu buat adalah menjerit dan menumbuk/memukul peralatan tersebut. Luahkan segala yang terpendam di dalam hati anda, nescaya benda ini boleh menenangkan badan anda. Pendamkan perasaan tidak elok pada diri anda, fizikal ataupun rohani.
Tips Tambahan Yang Anda Boleh Guna
Kunyah gula-gula getah. Percaya atau tidak, terdapat kajian menyatakan bahawa mengunyah gula-gula getah boleh mengurangkan stress. Oleh sebab itu orang yang tertekan sering kali makan dengan kuantiti yang lebih banyak.
Dapatkan khidmat urut badan.
Jujur pada emosi anda. Jangan menafikan anda tidak mengalami stress sekiranya anda ada. Jangan takut untuk menangis. Hal ini kerana boleh melegakan masalah anda.
Meminta maaf kepada orang yang sepatutnya. Jika anda pendam perasaan tersebut, ia akan menyebabkan lebih teruk.
Jangan terlalu memikirkan tekanan itu, kerana dengan memikirkannya sudah cukup memberikan kesan yang lebih teruk kepada emoai anda. Cara yang baik dengan mencari jalan penyelesaian kepada masalah stress itu.
Perkara yang Perlu Dipertimbangkan
Berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu pertimbangkan dalam menangani masalah stress.
- Dapatkan nasihat pakar dengan kadar segera sekiranya anda mengalami kesakitan dada dan kepeningan
- Elakkan pengambilan pil ataupun ubat melegekan tekanan ataupun stress.
- Sekiranya anda masih stress walaupun setelah menyelesaikan punca-punca tekanan, anda dinasihat mendapatkan nasihat doktor. Ada kemungkinan anda mengalami masalah kesihatan yang lain.
- Elakkan daripada anda menjauhkan diri atau menyembunyikan masalah stress anda. Anda tidak boleh atasi masalah ini secara persendirian.
Kesimpulan
Kesimpulannya, masalah stress ini adalah perkara yang biasa dialami oleh setiap orang, tidak kiralah yang telah berkerja mahupun yang masih belajar. Yang membezakan mereka adalah cara mereka mengatasi dan berhadapan dengan masalah stress tersebut.
Harap artikel ini boleh membantu anda dalam menghilangkan masalah tekanan diri anda. Semoga maju jaya!